Imam Abu Hanifah [80H/699M– 150H/767M]
Imam Abu
Hanifah atau nama sebenarnya Numan bin Tsabit bin Zhuthi' lahir pada tahun
80H/699M di Kufah, Iraq, sebuah bandar yang sudah sememangnya terkenal sebagai
pusat ilmu Islam pada ketika itu. Ianya diasaskan oleh ‘Abdullah ibn Mas‘ud
radhiallahu ‘anh (32H/652M), seorang sahabat zaman Rasulullah shallahu ‘alaihi
wasallam. Ayahnya seorang pedagang besar, sempat hidup bersama ‘Ali bin Abi
Thalib radhiallahu ‘anh. Imam Abu Hanifah sekali-sekala ikut serta dalam
urusniaga ayahnya akan tetapi minatnya yang lebih besar ialah ke arah membaca
dan menghafal Al-Quran.
Imam Abu
Hanifah pada satu hari telah berjumpa dengan seorang tokoh agama yang masyhur
pada ketika itu bernama as-Sya’bi. Melihatkan kepintaran dan kecerdasan luar
biasa yang terpendam dalam Imam Abu Hanifah, as-Sya’bi menasihatkan beliau agar
lebih banyak mencurahkan usaha ke dalam bidang ilmu-ilmu Islam. Dengan nasihat
dan dorongan as-Sya’bi, Imam Abu Hanifah mula menceburkan diri secara khusus
mempelajari ilmu-ilmu Islam.
Imam Abu
Hanifah mula belajar dengan mendalami ilmu-ilmu qiraat, ilmu bahasa Arab ilmu
kalam dan lain-lain. Akan tetapi bidang ilmu yang paling diminatinya ialah ilmu
hadith dan fiqh. Beliau banyak meluangkan masa dan tenaga untuk mendalaminya.
Imam Abu Hanifah meneruskan pembelajarannya dengan bergurukan kepada as-Sya’bi
dan beberapa tokoh ilmuan lain di Kufah. Menurut riwayat, jumlah gurunya di
Kufah sahaja berjumlah 93 orang.
Beliau
kemudiannya berhijrah ke bandar Basrah di Iraq, untuk berguru bersama Hammad
bin Abi Sulaiman, Qatadah dan Shu’bah. Setelah sekian lama berguru dengan Shu’bah
yang pada ketika itu terkenal sebagai Amir al-Mu’minin fi Hadith (pemimpin umat
dalam bidang hadith), beliau diizinkan gurunya untuk mula mengajar hadith
kepada orang ramai. Berkata Shu’bah:
“Sebagaimana
aku ketahui dengan pasti akan kesinaran cahaya matahari, aku juga ketahui
dengan pasti bahawa ilmu dan Abu Hanifah adalah sepasangan bersama.”
Imam Abu
Hanifah tidak hanya berpuas hati dengan pembelajarannya di Kufah dan Basrah di
Iraq. Beliau kemudiannya turun ke Makkah dan Madinah untuk menuntut ilmu lagi.
Di sana beliau duduk berguru kepada ‘Atha’ bin Abi Rabah. Kemudiannya Imam Abu
Hanifah duduk pula bersama Ikrimah, seorang tokoh besar agama di Makkah yang
juga merupakan anak murid kepada ‘Abdullah ibn ‘Abbas, ‘Ali bin Abi Thalib ra,
Abu Hurairah ra dan ‘Abdullah ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhum. Kehandalan Imam Abu
Hanifah dalam ilmu-ilmu hadith dan fiqh diiktiraf oleh Ikrimah sehingga beliau
kemudiannya membenarkan Imam Abu Hanifah menjadi guru kepada penduduk Makkah.
Imam Abu
Hanifah kemudiannya meneruskan pengajiannya di Madinah bersama Baqir dan Ja’afar
as-Shadiq. Kemudiannya beliau duduk bersebelahan dengan Imam Malik bin Anas,
tokoh besar kota Madinah ketika itu. Walaupun Imam Abu Hanifah 13 tahun lebih
tua daripada Imam Malik, ini tidak menghalangnya untuk turut serta belajar.
Apabila
guru kesayanganya Hammad meninggal dunia di Basrah pada tahun 120H/738M, Imam
Abu Hanifah telah diminta untuk mengganti kedudukan Hammad sebagai guru dan
sekaligus tokoh agama di Basrah. Melihatkan tiada siapa lain yang akan
meneruskan perjuangan Hammad, Imam Abu Hanifah bersetuju kepada jawatan
tersebut.
Mulai di
sinilah Imam Abu Hanifah mengajar dan menjadi tokoh besar terbaru dunia Islam.
Orang ramai dari serata pelusuk dunia Islam datang untuk belajar bersamanya. Di
samping mengajar, Imam Abu Hanifah adalah juga seorang pedagang dan beliau amat
bijak dalam mengadili antara dua tanggungjawabnya ini sebagaimana diterangkan
anak muridnya al-Fudail ibn ‘Iyyadh:
“Adalah
Imam Abu Hanifah seorang ahli hukum, terkenal dalam bidang fiqh, banyak
kekayaan, suka mengeluarkan harta untuk sesiapa yang memerlukannya, seorang
yang sangat sabar dalam pembelajaran baik malam atau siang hari, banyak
beribadat pada malam hari, banyak berdiam diri, sedikit berbicara terkecuali
apabila datang kepadanya sesuatu masalah agama, amat pandai menunjuki manusia
kepada kebenaran dan tidak mahu menerima pemberian penguasa.”
Pada zaman
pemerintahan Abbasid, Khalifah al-Mansur telah beberapa kali meminta beliau
menjawat kedudukan Qadhi kerajaan. Imam Abu Hanifah berkeras menolak tawaran
itu. Jawapan Abu Hanifah membuatkan al-Mansur marah lalu dia menghantar Imam
Abu Hanifah ke penjara. Akan tetapi tekanan daripada orang ramai menyebabkan
al-Mansur terpaksa membenarkan Imam Abu Hanifah meneruskan pengajarannya
walaupun daripada dalam penjara. Apabila orang ramai mula mengerumuni penjara
untuk belajar bersama Imam Abu Hanifah,al-Mansur merasakan kedudukannya mula
tergugat. Al-Mansur merasakan Imam Abu Hanifah perlu ditamatkan hayatnya
sebelum terlambat.
Akhirnya
Imam Abu Hanifah meninggal dunia pada bulan Rejab 150H/767M (ketika berusia 68
tahun), yakni ketika berada di dalampenjara disebabkan termakan makanan yang
diracuni orang. Dalam riwayat lain disebutkan bahawa beliau dipukul dalam
penjara sehingga mati. Kematian tokoh ilmuan Islam ini amat dirasai oleh dunia
Islam. Solat jenazahnya dilangsungkan 6 kali, setiapnya didirikan oleh hampir
50,000 orang jamaah. Abu Hanifah mempunyai beberapa orang murid yang ketokohan
mereka membolehkan ajarannya diteruskan kepada masyarakat. Antara anak-anak
murid Imam Abu Hanifah yang ulung ialah Zufar (158H/775M), Abu Yusuf
(182H/798M) dan Muhammad bin Hasan as-Syaibani(189H/805M).
Imam Malik bin Anas [93H/711M – 179H/796M]
Imam Malik
bin Anas lahir di Madinah pada tahun 93H/711M. Beliau dilahirkan di dalam
sebuah kota yang merupakan tempat tumbuhnya Islam dan berkumpulnya generasi
yang telah dididik oleh para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam,
radhiallahu ‘anhum. Sejarah keluarganya juga ada hubungkait dengan ilmu Islam,
dengan datuknya sendiri adalah seorang perawi dan penghafal hadith yang
terkemuka. Pakciknya juga, Abu Suhail Nafi’ adalah seorang tokoh hadith kota
Madinah pada ketika itu dan dengan beliaulah Malik bin Anas mula mendalami
ilmu-ilmu agama, khususnya hadith. Abu Suhail Nafi’ ialah seorang tabi‘in yang
sempat menghafal hadith daripada‘Abdullah ibn ‘Umar, ‘Aisyah binti Abu Bakar,
Ummu Salamah, Abu Hurairah dan Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anhum.
Selain Nafi’,
Imam Malik bin Anas juga duduk berguru dengan Jaafar as-Shadiq, cucu kepada
al-Hassan, cucu kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Imam Malik juga
duduk belajar di Masjid Nabawi, Madinah dan berguru dengan Muhammad Yahya
al-Ansari, Abu Hazim Salmah ad-Dinar, Yahya bin Saad dan Hishambin ‘Urwah.
Mereka ini semua ialah anak murid kepada para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam. Suasana kehidupan Imam Malik bin Anas di Madinah yang ketika itu
dipenuhi dengan para tabi‘in amatlah menguntungkannya. Para tabi‘in ini adalah
mereka yang sempat hidup bersama sahabat-sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam. Mereka sempat belajar, mendengar hadith dan mengamalkan perbuatan
para sahabat secara terus. Inilah antara sebab kenapa Imam Malik bin Anas tidak
pernah meninggalkan Madinah kecuali apabila pergi menunaikan ibadat hajinya.
Imam Malik
bin Anas kemudiannya mengambil alih peranan sebagai tokoh agama di Masjid
Nabawi, Madinah. Ajarannya menarik sejumlah orang ramai daripada pelbagai
daerah dunia Islam. Beliau juga bertindak sebagai Mufti Kota Madinah pada
ketika itu. Imam Malik juga ialah antara tokoh yang terawal dalam mengumpul dan
membukukan hadith-hadith Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam
kitabnya al-Muwattha’. Kitabnya ini menjadi hafalan dan rujukan orang ramai
sehinggakan ia pernah dikatakan oleh Imam as-Syafi‘e sebagai:
“Tidak
wujud sebuah buku di bumi yang paling hampir kepada al-Quran melainkan kitab
Imam Malik ini.”
Antara
tokoh besar yang duduk belajar bersama Imam Malik ialah Imam Abu Hanifah dari
Kufah, Iraq. Selain itu diriwayatkan juga bahawa sebanyak 1,300 tokoh-tokoh
lain yang duduk bersama menuntut ilmu bersama Imam Malik di Masjid Nabawi.
Antaranya termasuklah Muhammad bin Idris, yang kemudiannya terkenal dengan
gelaran Imam as-Syafi‘e. Ketinggian ilmu Imam Malik bin Anas pernah diungkap
oleh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai:
“Imam Malik
adalah penghulu daripara penghulu ahli ilmu dan beliau pula seorang imam dalam
bidang hadith dan fiqh. Siapakah gerangan yang dapat menyerupai Imam Malik?”
Imam Malik
pernah dihukum oleh gabenor Kota Madinah pada tahun 147H/764M kerana telah
mengeluarkan fatwa bahawa hukum thalaq yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan
Abbasid sebagai tidak sah. Kerajaan Abbasid ketika itu telah membuat fatwa
sendiri bahawa semua penduduk perlu taat kepada pemimpin dan barangsiapa yang
enggan akan terjatuh thalaq ke atas isterinya. Memandangkan rakyat yang lebih
taatkan ulama' daripada pemimpin, pemerintah Abbasid telah memaksa Imam Malik
untuk mengesahkan fatwa mereka. Imam Malik enggan, malah mengeluarkan fatwa
menyatakan bahawa thalaq sedemikian tidak sah (tidak jatuh thalaqnya). Imam
Malik ditangkap dan dipukul oleh gabenor Madinah sehingga tulang bahunya patah
dan terkeluar daripada kedudukan asalnya. Kecederaan ini amatlah berat
sehinggakan beliau tidak lagi dapat bersolat dengan memegang kedua tangannya di
dada, lalu dibiarkan sahaja terkulai di tepi badannya.
Imam Malik
kemudiannya dibebaskan dari penjara dan beliau terus kembali mengajar di
Madinah sehinggalah beliau meninggal dunia pada 11 Rabiul-Awwal, tahun 179H/796M,
ketika berusia 86 tahun (Hijriah). Di antara anak-anak murid beliau yang
masyhur ialah ‘Abdarrahman bin al-Qasim al-Tasyri (191H/807M), Ibn Wahhab Abu
Muhammad al-Masri (199H/815M) dan Yahya bin Yahya al-Masmudi (234H/849M).
Imam Muhammad bin Idris as-Syafi’e [150H/767M – 204H/820M]
Imam
as-Syafi’e lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H/767M. Nama sebenarnya ialah
Muhammad bin Idris as-Syafi‘e. Beliau mempunyai pertalian darah Quraisy dan
hidup tanpa sempat melihat ayahnya. Pada umur 10 tahun ibunya membawanya ke
Makkah untuk menunaikan ibadah Haji dan selepas itu beliau tetap berada di sana
untuk menuntut ilmu. Di Makkah Imam as-Syafi’e memulakan perguruannya dengan
Muslim bin Khalid al-Zanji, yakni mufti Kota Makkah ketika itu.
Kitab ilmu
yang paling terkemuka pada ketika itu ialah al-Muwattha’ karangan Imam Malik
bin Anas, dan Imam as-Syafi’e dalam usia 15 tahun telah pun menghafal
keseluruhan kitab tersebut. Imam as-Syafi’e kemudiannya berhijrah ke Madinah
untuk berguru pula dengan penulis kitab itu sendiri, yakni Imam Malik bin Anas.
Ketika itu Imam as-Syafi’e baru berumur 20 tahun dan beliau terus duduk bersama
Imam Malik sehinggalah kewafatannya pada tahun 179H/796M. Ketokohan Imam
as-Syafi’e sebagai murid terpintar Imam Malik bin Anas mulai diiktiraf ramai.
Imam as-Syafi‘e mengambil alih sebentar kedudukan Imam Malik bin Anas sebagai
guru di Masjid Nabawi di Madinah sehinggalah beliau ditawarkan satu kedudukan
jawatan oleh Gabenor Yaman. Jawatan Imam as-Syafi’e di Negeri Yaman tidak lama
kerana beliau telah difitnah sebagai pengikut mazhab Syi‘ah. Selain itu
pelbagai konspirasi lain dijatuhkan ke atasnya sehinggalah beliau dirantai dan
dihantar ke penjara di Baghdad, yakni pusat pemerintahan Dinasti Abbasid ketika
itu.
Imam as-Syafi’e
dibawa menghadap kepada Khalifah Harun ar-Rashid dan beliau berjaya membuktikan
kebenaran dirinya. Kehandalan serta kecekapan Imam as-Syafi’e membela dirinya
dengan pelbagai hujjah agama menyebabkan Harun ar-Rashid tertarik kepadanya.
Imam as-Syafi’e dibebaskan dan dibiarkan bermastautin di Baghdad. Di sini Imam
as-Syafi’e telah berkenalan dengan anak murid Imam Abu Hanifah dan duduk
berguru bersama mereka, terutamanya Muhammad bin al-Hasan as-Syaibani. Suasana
ini memberikan kelebihan yang penting bagi Imam as-Syafi’e, iaitu beliau
berkesempatan untuk belajar dan membanding antara dua ajaran Islam, yakni
ajaran Imam Malik bin Anas dan ajaran Imam Abu Hanifah.
Pada tahun
188H/804M, Imam as-Syafi’e berhijrah pula ke Mesir. Sebelum itu beliau singgah
sebentar di Makkah dan di sana beliau diberi penghormatan dan dipelawa memberi
kelas pengajian agama. Imam as-Syafi’e kini mula diiktiraf sebagai seorang imam
dan beliau banyak meluahkan usaha untuk cuba menutup jurang perbezaan di antara
ajaran Imam Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah. Usahanya ini tidak disambut
baik oleh para penduduk Makkah kerana kebiasaan mereka adalah kepada ajaran
Imam Malik bin Anas.
Pada tahun
194H/810M, Imam as-Syafi’e kembali semula ke Baghdad dan beliau dipelawa untuk
memegang jawatan Qadhi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan hanya singgah
selama 4 tahun di Baghdad. Imam as-Syafi’e kemudian kembali ke Mesir dan
memusatkan ajarannya di sana pula. Daud bin ‘Ali pernah ditanya akan kelebihan
Imam as-Syafi’e berbanding tokoh-tokoh lain pada ketika itu, maka beliau
menjawab:
"As-Syafi‘e
mempunyai beberapa keutamaan, berkumpul padanya apa yang tidak terkumpul pada
orang lain. Beliau seorang bangsawan, beliau mempunyai agama dan i'tiqad yang
sebenar, seorang yang sangat murah hati, mengetahui hadith sahih dan hadith
dhaif, nasikh, mansukh, menghafal al-Quran dan hadith, perjalanan hidup para
Khulafa' ar-Rashidin dan amat pandai pula mengarang."
Dalam
usahanya untuk cuba menutup jurang perbezaan antara ajaran Imam Malik bin Anas
dan Imam Abu Hanifah, Imam as-Syafi’e menghadapi banyak tentangan daripada para
pengikut Mazhab Maliki yang amat taksub kepada guru mereka. Pada satu malam,
dalam perjalanan balik ke rumah dari kuliah Maghribnya di Mesir, Imam as-Syafi’e
telah diserang dan dipukul orang sehingga menyebabkan kematiannya. Pada ketika
itu Imam as-Syafi’e juga sedang menghadapi penyakit buasir yang agak serius.
Imam
as-Syafi’e meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir ketika
berumur 54 tahun (Hijriah). Beliau meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab
yang paling agung dalam bidang usul fiqh berjudul ar-Risalah. Kitab ini adalah
yang terawal dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan hukum daripada
sesebuah nas al-Qur’an dan as-Sunnah. Selain itu Imam as-Syafi’e juga
meninggalkan kitab fiqhnya yang termasyhur berjudul al-Umm. Ajaran Imam
as-Syafi’e diteruskan oleh beberapa anak muridnya yang utama seperti Abu Yaaqub
al-Buwayti (231H/846M), Rabi’ bin Sulaiman al-Marali (270H/884M) dan Abu
Ibrahim bin Yahya al-Muzani (274H/888M).
Imam Ahmad bin Hanbal [164H/781M – 241H/856M]
Imam Abu ‘Abdullah
Ahmad bin Muhammad bin Hanbal dilahirkan di Baghdad, Iraq, pada tahun
164H/781M. Ayahnya seorang mujahid Islam dan meninggal dunia pada umur muda,
iaitu 30 tahun. Ahmad kemudiannya dibesarkan oleh ibunya Saifiyah binti
Maimunah. Imam Ahmad bin Hanbal menghafal al-Qur’an sejak kecil dan pada
umurnya 16 tahun beliau sudah menjadi penghafal hadith yang terkenal. Imam
Ahmad bin Hanbal meneruskan pengajian hadithnya dengan sekian ramai guru dan
beliau pada akhir hayatnya dijangkakan telah menghafal lebih daripada sejuta
hadith termasuk barisan perawinya.
Pada tahun
189H/805M Imam Ahmad bin Hanbal berhijrah ke Basrah dan tidak lama kemudian ke
Makkah dan Madinah untuk menuntut ilmu. Di sana beliau sempat duduk berguru
dengan Imam as-Syafi‘e. Sebelum itu guru-gurunya yang masyhur ialah Abu Yusuf,
Husain ibn Abi Hazim al-Washithi, ‘Umar ibn ‘Abdullah ibn Khalid, ‘Abdurrahman
ibn Mahdi dan Abu Bakar ibn ‘Iyasy. Pada tahun 198H Imam Ahmad bin Hanbal ke
negeri Yaman pula untuk berguru dengan ‘Abdurrazzaq ibn Humam, seorang ahli
hadith yang besar ketika itu, terkenal dengan kitabnya yang berjudul
al-Musannaf. Dalam perjalanannya ini Imam Ahmad mula menulis hadith-hadith yang
dihafalnya setelah sekian lama.
Imam Ahmad
bin Hanbal kembali semula ke Baghdad dan mula mengajar. Kehebatannya sebagai
seorang ahli hadith dan pakar fiqh menarik perhatian orang ramai dan mereka
mula mengerumuninya untuk belajar bersama. Antara anak muridnya yang kemudian
berjaya menjadi tokoh hadith terkenal ialah al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud.
al-Qasim ibn Salam pernah berkata:
“Ahmad bin
Hanbal adalah orang yang paling ahli dalam bidang hukum dan aku tidak melihat
ada orang yang lebih mengetahui tentang as-Sunnah selain beliau. Beliau tidak
pernah bersenda gurau, selalu berdiam diri, tidak memperkatakan apa-apa selain
ilmu.”
Imam Ahmad
bin Hanbal pernah hidup di dalam penjara kerana kekerasannya menentang Mazhab
Mu’tazilah yang diterima oleh pemerintah Abbasid ketika itu.
Mereka
(pemerintah) memaksa Imam Ahmad mengesahkan mazhab baru tersebut. Imam Ahmad
enggan dan ini menyebabkan beliau dirotan di dalam penjara sehingga tidak
sedarkan diri.
Akibat
ketegasan Imam Ahmad bin Hanbal serta tekanan daripada para orang ramai
akhirnya menyebabkan pihak pemerintah Abbasid telah terpaksa membebaskan beliau
dari penjara. Imam Ahmad kemudiannya meneruskan pengajarannya kepada orang
ramai sehinggalah kematiannya pada tahun 241H/856M, ketika berusia 77 tahun
Hijriah. Imam Ahmad bin Hanbal meninggalkan kepada dunia Islam kitab hadithnya
yang terkenal iaitu "al-Musnad" yang mengandungi lebih kurang 30,000
hadith Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan atsar para sahabat
radhiallahu ‘anhum. Dua orang anaknya yang utama meneruskan perjuangan ayah
mereka, iaitu ‘Abdullah bin Ahmad dan Shaleh bin Ahmad.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar